mutakhir

Pantau isu sensitif 24 jam

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“KAMI semua baru lepas buat medical check up (ujian kesihatan),” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyindir netizen menggunakan platform media sosial untuk mencaci tugas anggotanya.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berdiam diri meskipun dianggap netizen sering mematikan diri dalam pelbagai banyak isu sensitif.

“Janganlah mereka (netizen) mencaci menyatakan polis tidur, buta dan pekak.

“Apa saja isu, semua akan diambil tindakan cuma masa membezakan. Kadang-kadang perkara ini perlukan siasatan lebih terperinci,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 2/2019 di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Shafie Ismail.

Abdul Hamid berkata, beliau kesal kerana masih ada perbuatan memuat naik artikel berbentuk hasutan.

“Sekali lagi saya mengingatkan bahawa ia (artikel hasutan) tidak akan terlepas pandang oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ini.

“Mereka siang dan malam, 24 jam memantau apakah diviralkan (tularkan), apakah fitnah dilemparkan, apakah artikel menghina, mencaci dan bersifat lucah dimuat naikkan ke media sosial,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, pihaknya terus memantau dan akan menjalankan siasatan tanpa menerima atau menunggu arahan.

“Sekiranya keadaan memerlukan, mereka akan ditangkap dan direman.

“Itu saya yakin kepada semua orang bahawa perkara begini tidak terlepas daripada pandangan PDRM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan anggotanya supaya mengelak ‘tangkap borong’ iaitu tangkap dulu soal kemudian.

“Kita sekarang mementingkan siasatan dulu dan apabila yakin sesuatu ‘ramuan’ kesalahan itu ada buktinya, baharu kita ambil tindakan.

“Kita tangkap untuk ambil keterangan, lepas itu dibebaskan dengan jaminan atau reman,” katanya.

Ahbdul Hamid berkata, beliau tidak mahu PDRM cepat melenting selain dikecam masyarakat yang mendakwa ‘tangkap borong’.

“Siasat dulu, ada bukti, kita ambil tindakan. Orang kata tangkap borong, tapi saya tidak tahu ada berlaku atau tidak,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 2:38pm
d