mutakhir

Tanah Kampung Baru dijual kepada agensi kerajaan

Oleh Siraj Mohd Zaini

TANAH di Kampung Baru akan dijual kepada agensi kerajaan dan bukanlah individu mahupun pihak luar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, agensi kerajaan yang akan dilantik itu akan membantu pemilik tanah untuk membangunkan semula Kampung Baru tanpa mengabaikan imej serta ciri-ciri asal orang Melayu di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan pemilik tanah di Kampung Baru tidak mempunyai dana mencukupi untuk membangunkan kawasan itu sebelum ini sehingga mengakibatkan ia dikelilingi bangunan pencakar langit ketika ini.

“Tanah Kampung Baru dulu adalah tanah pertanian, tapi tanah ini sekarang hanya sesuai untuk berniaga, namun mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membangunkan kawasan ini.

“Jika kita lihat di Kampung Baru masih terdapat rumah lama berbumbung zink serta karat. Keadaan ini tidak mencerminkan kedudukan orang Melayu itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat sempena Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mengumumkan tawaran harga kerajaan RM850 setiap kaki persegi (0.09 meter persegi) atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi (743 meter persegi).

Khalid dilaporkan berkata, kerajaan memberi jaminan tanah berkenaan tidak akan dijual kepada bukan Melayu atau ditukar status kepada pegangan bebas seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampung Baru.

Tumpuan pembangunan Kampung Baru yang dirancang meliputi 70 peratus perumahan dan 30 peratus pembangunan komersial membabitkan keluasan 122 hektar.

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 4:09pm
d