mutakhir

Agih 50 tudung percuma

Oleh Ramli Ibrahim

Sebanyak 50 tudung percuma diagihkan kepada wanita masyarakat Orang Asli di Pos Bihai, bertujuan untuk menggalakkan mereka menutup aurat sebelum mengucapkan dua kalimah syahadah.

Agihan tudung dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, apabila wanita masyarakat Orang Asli di pos berkenaan menyuarakan hasrat bergelar wanita Muslim.

Beliau berkata, minat untuk memeluk Islam turut dinyatakan lelaki masyarakat Orang Asli di penempatan itu.

“Bagi tujuan berkenaan akan diadakan program khusus mengumpulkan mereka secara beramai-ramai untuk mengucap kalimah syahadah.

“Alhamdulillah hati mereka semakin terbuka untuk memeluk Islam,” katanya selepas mengagihkan tudung di Pos Bihai, di sini, kelmarin.

Pengagihan tudung itu bersempena Program Kembara Dun Galas dan Neggiri 2019 yang turut dihadiri ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusof.

Mohd Syahbuddin berkata, program kembara dianjurkan setiap tahun itu bertujuan mendekati masyarakat Orang Asli selain mendengar keluhan mereka.

Sebagai Adun, beliau mahu mengambil tahu segala masalah hadapi penduduk dan disuarakan kepada kerajaan.

“Masalah perhubungan (jalan) paling banyak disuarakan hingga menyukarkan mereka ini untuk keluar ke bandar khusus pada musim hujan.

“Memang diakui ini adalah masalah paling utama kerana kenderaan pacuan empat roda dinaiki peserta rombongan turut tersekat dalam lumpur ketika dalam perjalanan.

“Berikutan itu perkara ini akan dibincangkan bersama kerajaan negeri atau Pusat dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 6:20am
d