mutakhir

Bapa OKU tak mengaku dera anak

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI kudung kaki kanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mendera anak lelakinya sehingga bengkak dan lebam di muka dan mulut.

Tertuduh berusia 39 tahun, membuat pengakuan itu sebelum mohon dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya anaknya berusia tiga tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi di rumah di Marang antara 12 hingga 24 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 5 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang disyaki mendera anak lelakinya berusia tiga tahun di kediaman di Marang ditahan polis pada 25 September lalu.

Lelaki itu ditahan susulan aduan diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung kes pengabaian dan penderaan terhadap kanak-kanak lelaki itu pada 1 tengah hari.

Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan mendapati terdapat seorang kanak-kanak sedang duduk di atas tilam dengan keadaan mulutnya bengkak selain lebam muka.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 11:39am
d