mutakhir

Bank data DNA bantu selesai kes jenayah

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelesaikan 60 kes jenayah termasuk kes yang berlaku 20 tahun lalu menerusi penggunaan bank data asid deoksiribonukleik (DNA).

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, kebanyakan daripada 60 kes itu adalah kes jenayah yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini.

Katanya, penggunaan bank data DNA kini menjadi antara keperluan bagi membolehkan PDRM menyelesaikan kes jenayah yang semakin rumit.

“Seperti kes jenayah rogol yang berlaku kira-kira 20 tahun lalu, dengan penggunaan bank data DNA itu, akhirnya kes berkenaan dapat diselesaikan.

“Suspek kes itu sebelum ini dipenjara atas kesalahan lain, namun penggunaan bank data DNA ini membolehkan polis mengesan pembabitannya dalam kes jenayah rogol terbabit sekaligus membolehkan pendakwaan atas jenayah itu dapat dilakukan serta kes diselesaikan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Sains Forensik Nasional bagi Agensi Undang-undang 2019 di Maktab PDRM Cheras, hari ini.

Beliau berkata, sejak 2013, PDRM menerusi bank data DNA itu sudah berjaya mengumpul kira-kira 100,000 DNA dan sentiasa berbincang dengan Jabatan Kimia Malaysia bagi memastikan ia sentiasa dikemaskini.

Katanya, PDRM juga turut berharap agar bank data ini juga dapat ditambah baik agar ia kekal relevan pada masa depan dalam membantu menyelesaikan kes jenayah.

Sementara itu, mengulas mengenai simposium selama tiga hari itu yang bermula hari ini, beliau berkata, ia akan disertai 18 ahli panel dalam bidang sains forensik dari dalam dan luar negara seperti dari Sepanyol dan Amerika Syarikat yang akan berkongsi maklumat kepakaran.

Katanya, simposium disertai kira-kira 500 peserta termasuk dari PDRM serta agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membolehkan pegawai penguat kuasa menimba pelbagai ilmu dari sudut forensik sesuai dengan moto Justice Via Forensic (keadilan menerusi forensik) yang ingin dicapai.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 12:02pm
d