mutakhir

1MDB: Nazir Razak individu terima dana terbanyak

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

BEKAS Pengerusi CIMB Group Holdings Berhad, Datuk Seri Nazir Razak dipercayai menerima RM25.7 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nazir, adik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, antara 80 individu dan entiti yang akan dikompaun kerana dipercayai menerima dana daripada 1MDB, membabitkan jumlah RM420 juta.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya ketika mendedahkan perkara itu berkata, Nazir dipercayai individu yang paling banyak menerima wang daripada dana berkenaan.

“Bagi entiti, Solar Shine Sdn Bhd menerima jumlah wang tertinggi daripada 1MDB iaitu sebanyak RM134 juta.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan berharap mereka mengambil serius untuk membayar kompaun berkenaan sebaik menerima notis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Menerusi senarai yang diedarkan kepada pemberita, seramai sembilan individu serta sebanyak 23 syarikat, 43 parti politik dan bahagian selain lima organisasi yang menerima notis kompaun.

Pada masa sama, Latheefa berkata, ia berbeza dengan kes sebelum ini yang mana wang masih berada di dalam akaun dan pihak SPRM membekukan akaun berkenaan.

“Bagaimanapun dalam kes di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ini, kita mempunyai kuasa untuk mengeluarkan notis kompaun.

“Susulan itu, mereka diberi tempoh dua minggu untuk menjelaskan kompaun bermula dari tarikh notis,” katanya

Latheefa berkata, sekiranya mereka gagal menjelaskan kompaun, SPRM boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 92(3) AMLATFPUAA 2001.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kompaun dikenakan terhadap mereka adalah serendah jumlah diterima daripada 1MDB atau setinggi 2.5 kali ganda yang diterima.

Katanya, jumlah paling rendah diterima bagi individu dipercayai RM500,000 dan paling tinggi RM25 juta, manakala bagi entiti menerima RM134 juta daripada 1MDB menerusi cek.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata, sekiranya masa dua minggu dirasakan tidak mencukupi untuk menjelaskan kompaun, mereka boleh memohon untuk melanjutkan tempoh berkenaan.

Katanya, notis kompaun yang dikeluarkan itu juga sudah menerima kebenaran daripada Peguam Negara.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 12:27pm
d