mutakhir

Subsidi petrol untuk M40?

Oleh Hairulazim Mahmud

“SAYA akan membawa kepada Kabinet syor supaya golongan M40 turut menikmati subsidi ini pada masa akan datang,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, langkah berkenaan boleh dilaksanakan menggunakan wang penjimatan daripada Program Subsidi Petrol (PSP) apabila ia berkuatkuasa pada Januari 2020.

Beliau mahu bukan sahaja golongan B40 memperoleh subsidi itu malah berhasrat melanjutkannya kepada M40.

“Ini adalah program petrol berdasar dan jika ditanya kepada saya, wang yang dijimatkan daripada PSP itu, saya mahu M40 juga menikmatinya.

“Saya akan bawa ke Kabinet perkara ini,” katanya pada sidang media khas pengumuman PSP di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, subsidi tidak akan diberikan sekiranya harga petrol RON95 berada di bawah RM2 seliter.

Katanya, objektif subsidi adalah untuk membantu rakyat apabila harga petrol tinggi.

“Oleh itu, subsidi tidak diberikan apabila harga petrol berada pada kadar yang berpatutan,” katanya.

Kerajaan mengumumkan PSP bagi menggantikan mekanisme penetapan harga petrol yang diamalkan sekarang apabila semua pengguna menikmati subsidi secara pukal.

Harga petrol diumumkan setiap minggu dan bermula 1 Januari 2020, harga RON95 akan diapungkan secara berperingkat-peringkat.

Berita berkaitan:

  • Subsidi petrol: RM30 dan RM12 sebulan
  • Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 2:38pm
    d