mutakhir

Seludup pokok hiasan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor mematahkan cubaan menyeludup pokok hiasan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Johor Bahru Jumaat lalu.

Pengarahnya, Nur Afifah A Rahman berkata, tindakan itu hasil pemeriksaan tiga penguat kuasa terhadap lori dipandu lelaki 50-an di laluan masuk pada 7.30 pagi.

“Konsainan pokok hiasan itu ditahan atas kesalahan tidak mempunyai sebarang dokumen seperti Permit Import (IP) dikeluarkan MAQIS.

“Mereka juga gagal mengemukakan Sijil Fitosanitasi bagi semua tumbuhan terbabit ketika diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut oleh tiga pegawai MAQIS mendapati terdapat lima jenis pokok hiasan cuba diseludup.

“Ia membabitkan pokok jenis Nephrolepis Exaltata (satu pasu), Sansevieria Tritasciata (satu), Terminalia Catappa (satu), Zamiokulkas Zamiifolia (satu) dan Bamboo spp (satu) dan mempunyai media (tanah) pada pokok hiasan itu,” katanya.

Menurutnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian seperti pokok hiasan tanpa permit import sah adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Ia boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta sama dan sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 2:52pm
d