mutakhir

700,000 akaun pendeposit TH tak aktif

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

LEBIH 700,000 akaun pendeposit Tabung Haji (TH) membabitkan jumlah simpanan RM60.4 juta tidak aktif tanpa sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut mulai 2012.

Justeru TH dalam kenyataan berkata, akaun yang tidak diaktifkan selepas 1 November ini akan dipindahkan ke dalam kumpulan Akaun Dormant (Tidak Aktif) dan akaun berkenaan tidak lagi memperoleh manfaat sebagai pendeposit Akaun Aktif TH.

Menurut kenyataan itu lagi, amaun yang dipindahkan ke Akaun Dormant itu bagaimanapun masih lagi boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit TH menurut peruntukan Seksyen 23(2) Akta Tabung Haji 1995.

“Pendeposit dinasihatkan mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan, pengeluaran wang di cawangan TH, kaunter uniteller atau melakukan transaksi atas talian dengan mana-mana rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB di seluruh negara.

“Pendeposit juga boleh menyemak status akaun mereka di saluran ini dengan hanya membawa kad pengenalan,” katanya.

Menurutnya, setiap tahun mereka akan mengingatkan pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif di samping mengemaskini data peribadi seperti alamat,

nombor telefon dan penamaan waris.

“Ia bagi memudahkan TH menghubungi pendeposit atau waris mereka untuk urusan penghantaran surat tawaran haji dan pengurusan akaun.

“Sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH, boleh hubungi Khidmat Pelanggan (THCC) di talian 03-62071919,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 2:58pm
d