mutakhir

Pencuri pisang tak serik-serik

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

WALAUPUN pernah dicekup kerana mencuri pisang penduduk kampung, dua beradik tidak serik apabila sekali lagi ditangkap kerana kesalahan sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, kedua-dua suspek itu ditangkap di kebun pisang di Sungai Tengar Utara, Sabak Bernam 29 September lalu.

“Suspek berusia 31 dan 32 tahun pernah ditangkap atas kesalahan sama dan kini mereka masih mencuri pisang penduduk kampung selepas dibebaskan baru-baru ini.

“Dua beradik itu ditahan dalam serbuan selepas polis menerima maklumat daripada pemilik kebun pisang di kampung itu.

“Tangkapan dilakukan pada 6.15 petang apabila sepasukan polis dengan kerjasama penduduk menahan suspek yang menceroboh kebun pisang pengadu,” katanya hari ini.

Penahanan itu hasil maklumat pemilik kebun berusia 53 tahun yang memaklumkan ada kesan ceroboh di kebunnya itu sebelum polis dan penduduk memerangkap suspek.

Difahamkan, suspek sedang leka melonggokkan pisang yang ditebang sebelum ditahan polis dan orang awam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 12 tandan pelbagai jenis pisang dianggarkan bernilai RM150.

“Dalam serbuan itu juga, polis merampas dua motosikal iaitu Honda EX5 dan Yamaha LC135 serta parang dan gerabak yang digunakan dalam jenayah itu.

“Saringan air kencing ke atas dua lelaki itu didapati mereka positif dadah dan juga memiliki rekod lampau narkotik,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 3:04pm
d