mutakhir

Tampar, pijak isteri

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TIDAK cukup menampar dan memijak isterinya, seorang lelaki turut mengugut mahu membakar rumah didiami mereka dalam kejadian di Permaisuri, kelmarin.

Suspek berusia 30-an sebelum itu ada bertengkar dengan mangsa berusia 27 tahun kira-kira 4 petang Jumaat lalu.

Menurut sumber, dalam pertengkaran itu, suspek yang gagal mengawal perasaan marah bertindak menampar mangsa menyebabkan wanita itu jatuh sebelum memijaknya selain turut mengugut mahu memukul mangsa menggunakan sebatang kayu.

Katanya, pergaduhan antara suami isteri itu sekali lagi berlaku di rumah ibu suspek jam 2.30 petang kelmarin, apabila lelaki itu memaksa mangsa mengikutnya pulang ke rumah mereka.

“Keengganan mangsa mengikut suspek menyebabkan lelaki itu mengugut mahu membakar rumah sebelum suspek beredar tidak lama kemudian.

“Bagaimanapun, suspek ada menghantar gambar menunjukkan pakaian yang sedang dibakar di belakang rumah sambil mengugut mahu membakar rumah jika mangsa enggan pulang ke rumah.

“Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan diri membuat laporan di Balai Polis Permaisuri kelmarin untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 3:23pm
d