mutakhir

Ahmad Maslan nafi terima wang 1MDB

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan dirinya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, sepanjang siasatan dijalankan, Ahmad memaklumkan kepada SPRM dan PDRM bahawa beliau tidak menerima sebarang wang daripada syarikat berkaitan kerajaan itu.

“Saya sudah memaklumkan kepada mereka (SPRM dan PDRM) tiada cek dengan sejumlah wang diterima daripada syarikat berkenaan seperti salinan ditunjukkan.

“Saya sudah menandatangani dokumen PDRM dan SPRM bahawa saya tidak menerima wang yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan memaklumkan beliau sudah berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang media hari ini berkata, pihaknya mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima RM420 juta dipercayai daripada 1MDB.

Beliau berkata, mereka yang disiasat diberi tempoh dua minggu untuk menjelaskan kompaun dan kegagalan berbuat demikian tindakan mengikut Seksyen 92(3) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 boleh dikenakan.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 4:35pm
d