mutakhir

Saksi nafi diugut supaya berbohong

Oleh Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menafikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini bahawa beliau ada diugut mana-mana pihak untuk tidak bercakap benar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan penyelewengan dana 1MDB.

Shahrol menafikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada mengugutnya untuk mengambil tindakan sivil atas kecuaian beliau terhadap pengurusan 1MDB.

SHAFEE: Adakah akaun bank kamu dibekukan?

SHAHROL: Saya cuma ada satu akaun di Maybank. Ya, akaun itu dibekukan selama dua minggu. Saya tahu ia dibekukan ketika mahu membuat pembayaran bil secara online (dalam talian). Apabila saya bertanyakan kepada pihak bank, mereka maklumkan bahawa jika saya mahu ia dibuka, saya perlu menghubungi pegawai SPRM.

SHAFEE: Kamu mesti dimaklumkan kenapa akaun kamu dibekukan?

SHAHROL: Tidak, saya tidak diberitahu.

SHAFEE: Adakah kamu sedar ini adalah keterangan diberi dalam mahkamah dan tiada orang boleh ugut kamu?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Kamu tahu bercakap tidak benar adalah satu kesalahan?

SHAHROL: Ya, saya tahu.

SHAFEE: Ada harta kamu yang disita?

SHAHROL: Tidak.

SHAFEE: Ada mana-mana pihak memulakan prosiding lucut hak terhadap kamu?

SHAHROL: Tidak ada.

SHAFEE: Ada kamu diugut oleh SPRM bahawa kamu boleh didakwa atas kecuaian pengurusan (dalam 1MDB)?

SHAHROL: Tidak. Bagaimanapun, pada penghujung 2018, ada individu menghubungi saya mengatakan bahawa Kementerian Kewangan sedang merancang untuk mengambil tindakan terhadap pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB, itu sahaja.

SHAFEE: Awak tidak periksa dengan pihak kementerian?

SHAHROL: Tidak.

SHAFEE: Ada tindakan diambil terhadap 1MDB?

SHAHROL: Belum lagi.

SHAFEE: Kenapa kamu kata begitu?

SHAHROL: Kita tidak tahu apa akan jadi nanti.

SHAFEE: Betul juga. Adakah kamu bimbang dengan cara kamu menjawab soalan di mahkamah? Adakah kamu merasakan jika kamu bercakap benar, kamu akan diambil tindakan?

SHAHROL: Ia adalah sebaliknya, saya tidak bimbang kerana saya bercakap benar.

Terdahulu, Shahrol memberitahu mahkamah bahawa pada 2015, beliau percaya bahawa Najib sedang berhadapan dengan serangan politik.

Beliau berkata demikian ketika dirujuk keputusan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mencadangkan dirinya disiasat terhadap keputusan dibuat tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

Shahrol berkata, beliau tahu dengan keputusan PAC itu, namun tidak mencabarnya kerana diarahkan untuk tidak berbuat demikian.

SHAFEE: Adakah kamu sedar berhubung keputusan PAC?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Kamu hadir beberapa kali sidang PAC?

SHAHROL: Ya. Saya dalam kumpulan Najib dan saya memainkan peranan saya.

SHAFEE: Macam mana kamu boleh berada dalam mana-mana pasukan, kamu dikutuk dan tiada siapa melindungi kamu.

SHAHROL: Saya percaya Najib. Saya percaya dia dan percaya itu adalah serangan politik terhadapnya. Saya percaya ketika itu, apa yang Najib buat adalah untuk kebaikan negara.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 4:50pm
d