mutakhir

Seksa nak parkir

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

MELAKA: “Kalau berlaku kebakaran, bagaimana lebih 2,000 penduduk di taman ini hendak menyelamatkan diri jika hampir semua jalan sesak.

“Ia umpama ‘bom jangka’ buat kami yang semakin hari terseksa dan tertekan dengan masalah parkir haram ini,” kata pesara tentera, Mohd Noor Salleh, 63.

Dia antara 2,000 penduduk di Taman Peruna, Sungai Udang di sini yang mendakwa berdepan pelbagai masalah susulan kawasan bahu jalan taman perumahan itu dijadikan ruang parkir 2,000 kenderaan pekerja loji penapisan milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di sini, sejak lebih setahun lalu.

Katanya, penduduk tidak menghalang usaha Petronas berkaitan projek loji baharu, namun pihak berkenaan perlu prihatin dengan masalah dihadapi mereka.

“Jangan berjumpa wakil penduduk tertentu sahaja, sebaliknya adakan dialog dengan penduduk supaya masalah kesesakan, keselamatan dan kesihatan di sini tidak terus menghantui kami,” katanya di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Hussin Mahbeb, 70, berkata, isu itu bukan sahaja membabitkan keselamatan, tetapi kesihatan penduduk apabila lori sampah tidak dapat memungut sampah dengan cekap.

“Taman Peruna pernah mencatatkan kes denggi tertinggi di Malaysia dengan 176 kes dan kami bimbang masalah ini kembali menghantui kami.

“Sekiranya bahu jalan di dalam taman dijadikan ruang parkir haram, ia akan menghalang laluan lori sampah menyebabkan ada sampah tidak dapat dikutip, sekali gus meningkatkan risiko penduduk dijangkiti penyakit,” katanya.

Pesara tentera, Aminordin Dasuki, 59, berkata, dia difahamkan terdapat dua padang di dalam kawasan loji penapisan berkenaan yang boleh digunakan sebagai tempat parkir pekerja.

“Namun, saya difahamkan, ia tidak boleh digunakan kerana perlu dijadikan tempat berhimpun sekiranya berlaku keadaan kecemasan atau tapak pendaratan helikopter,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 5:31am
d