mutakhir

NCD untuk pemandu berhemah [METROTV]

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

PEMBERIAN diskaun tanpa tuntutan (NCD) bagi bayaran premium insurans kenderaan kepada pemandu berhemah akan diperkenalkan Januari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini pihaknya dalam proses akhir mengemaskini perkongsian maklumat pemandu daripada rekod di sistem mySIKAP milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum inisiatif itu dilaksanakan.

Beliau berkata, perbincangan bersama pihak Persatuan Insuran Insuran Am Malaysia (PIAM) juga sudah dilakukan dan bersetuju langkah itu dilaksanakan segera demi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini.

“Kita mendapat kerjasama yang baik daripada PDRM untuk berkongsi data pemandu yang tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam tempoh setahun untuk mendapat faedah daripada pelaksanaan inisiatif ini.

“Semua mekanisme diperlukan bagi menikmati pemberian diskaun itu sudah dalam peringkat akhir penyediaan dan perkara mengenainya akan diumumkan hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) ke-60 di Sepang, hari ini.

Beliau berkata, menerusi inisiatif itu, pemandu yang tidak pernah memiliki rekod melakukan kesalahan jalan raya akan diberikan ganjaran seperti pengurangan premium insurans atau tambahan kepada 50 peratus ke atas NCD yang tidak mempunyai tuntutan kemalangan yang dilaksanakan ketika ini.

Katanya, ganjaran itu bukan sahaja dapat mengurangkan statistik kesalahan trafik tetapi juga dapat membantu mengurangkan kos sara hidup pengguna jalan raya.

“Ini juga dapat membantu pemain insurans daripada mengalami kerugian di mana boleh mengurangkan kemalangan serta perlanggaran undang-undang jalan raya.

“Ia adalah situasi menang-menang, selain mewujudkan persekitaran jalan raya yang selamat, ia dapat mendidik pengguna yang berhemah,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 12:22pm
d