mutakhir

45 majikan diambil tindakan

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

SEBANYAK 45 majikan di Kuantan sudah diambil tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan membabitkan arahan gaji minimum, cuti am, waktu kerja, pemerdagangan manusia dan permit kerja bagi warga asing sejak Januari lalu hingga, hari ini.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang, Pezman Che Hussin berkata, daripada 45 majikan yang diambil tindakan itu, pihaknya sudah membuka 63 kertas siasatan dan menunggu arahan untuk pertuduhan di mahkamah.

“Sejak Januari lalu sebanyak 2,196 pemeriksaan di tempat kerja dilakukan. Kita turut mengeluarkan 205 notis pematuhan selain 63 kertas siasatan dibuka bagi tujuan kompaun dan pendakwaan.

“Ia bertujuan bagi memastikan tiada penyalahgunaan tenaga kerja tempatan mahupun asing dalam pelbagai aspek termasuk pematuhan gaji minimum RM1,100, waktu kerja dan cuti am yang wajib diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat JTK Pahang, di Kuantan, hari ini.

Katanya, berbanding tahun 2018 sebanyak 72 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan.

Pezman berkata, kejayaan pihaknya hari ini disumbang melalui operasi berterusan yang dijalankan selain aduan awam yang diterima daripada pekerja.

“Hingga kini sebanyak 11 operasi dijalankan membabitkan 49 majikan atas pelbagai perkara yang perlu mereka titik beratkan. Kita bukan hendak menganiaya mereka (majikan) tetapi mereka perlu patuh kepada undang-undang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan majikan di Pahang supaya mematuhi perintah gaji minimum seperti ditetapkan kerajaan.

Katanya, mereka yang ingkar boleh didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 12:43pm
d