mutakhir

Tak mengaku ugut bunuh ibu [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini atas pertuduhan mengugut untuk membunuh ibu kandungnya untuk mendapatkan sejumlah wang, tiga bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Nurahad’din Md Dali, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menakutkan secara jenayah dengan mengeluarkan kata-kata, “kalau kau tak bagi duit yang aku nak tu, aku ambil pisau, aku bunuh kau” terhadap ibunya Fatimah Ali, 56.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan pos pengawal Sekolah Kebangsaan Tambak Paya, Jalan Tambak Paya, Tiang Dua di Melaka, jam 11.40 pagi, 2 Julai lalu.

Dia yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob mencadangkan Muhammad Nurahad’din dikenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta jaminan dikurangkan atas alasan tidak mempunyai wang.

Majistret Muhammad Nazrin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 1:34pm
d