mutakhir

Nga Kor Ming tiba di Bukit Aman

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

TIMBALAN Speaker Negeri Perak Nga Kor Ming hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi dirakam keterangan untuk membantu siasatan berhubung status berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan tiba pada 1.25 tengah hari dengan menaiki kereta rasmi kerajaan negeri.

Turut menemani beliau adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Ngeh Khoo Ham, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar dan beberapa pemimpin DAP Perak.

Kehadiran Kor Ming itu berhubung satu kertas siasatan dibuka polis mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan selepas satu laporan dibuat pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada 1 Oktober lalu.

Laporan itu susulan status menghasut dikeluarkan akaun Facebook (FB) Nga Kor Ming Super Fans Page pada 29 September yang mengajak pengikut akaun itu untuk melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor susulan penggunaan papan tanda dwi bahasa.

Kenyataan itu mengajak orang ramai untuk membenci Sultan Selangor susulan arahan baginda supaya mengarahkan papan tanda jalan di Shah Alam yang menggunakan tulisan Cina digantikan dengan papan tanda jalan menggunakan bahasa Malaysia.

Bagaimanapun, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan sebelum ini menafikan mempunyai kaitan dengan akaun FB terbabit.

Berita berkaitan:

  • Nga Kor Ming ke Bukit Aman
  • Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 2:23pm
    d