mutakhir

Henti guna Herbun Plaster

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

BAHAGIAN Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan menggesa orang awam mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional Herbun Plaster berikutan dikesan mengandungi racun berjadual diphenhydramine.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran produk itu dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) 3 Oktober lalu berikutan pengesanan racun berjadual di dalamnya yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

Menurutnya, Herbun Plaster didaftarkan sebagai produk tradisional untuk sakit belakang, sakit sendi dan sakit otot.

“Diphenhydramine adalah sejenis antihistamin yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh diperolehi daripada doktor atau ahli farmasi.

“Ia digunakan untuk melegakan reaksi alahan. Kesan sampingan diphenhydramine yang digunakan secara topikal termasuk ruam, gatal-gatal serta peningkatan kepekaan terhadap cahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, penjual dan pengedar produk itu diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta.

Katanya, penjual diingatkan, penjualan dan pengedaran produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, orang awam yang sedang menggunakan produk Herbun Plaster dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami ketidakselesaan atau kesan advers.

“Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status’ daripada Google Play Store,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 3:00pm
d