mutakhir

Ramai orang tiada negara masuk Malaysia

Oleh Hairulazim Mahmud

JUMLAH kemasukan orang tidak bernegara dari rantau Asia khususnya Myanmar ke Malaysia semakin bertambah, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, walaupun negara ini tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 sebaliknya Malaysia sudah menerima sejumlah besar golongan berkenaan.

Bagaimanapun beliau menegaskan isu pelarian terbabit adalah masalah kritikal yang memerlukan perhatian antarabangsa kerana boleh memberi impak negatif bukan saja kepada negara terbabit bahkan seluruh rantau.

“Kesannya, kita bukan saja terpaksa menanggung beban kewangan sebagai tuan rumah malah perlu menangani pelbagai risiko keselamatan dan masalah sosial,” katanya dalam ucapan wakil negara mengenai orang tidak bernegara di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva semalam.

Menurut Muhyiddin, kerajaan Malaysia tetap komited untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR) dalam usaha menangani masalah itu.

Terdahulu beliau tiba di Geneva Ahad lalu dalam lawatan kerja empat hari ke untuk menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi Berhubung Orang Tanpa Negara yang juga salah satu program 70th Session of the Executive Committee (ExCom) UNHCR.

Muhyiddin juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi UNHCR Filippo Grandi bagi membincangkan peranan Malaysia dalam menyokong pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan selain bertukar-tukar pendapat mengenai pengurusan pelarian dan pencari suaka di Malaysia.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 3:29pm
d