mutakhir

[UPDATE] Kor Ming gesa polis siasat FB Najib

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PENGERUSI DAP Perak, Nga Kor Ming menggesa polis menyiasat akaun Facebook (FB) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah terhadap dirinya.

Kor Ming mendakwa, Najib menyebarkan fitnah terhadap akaun FB Nga Kor Ming Super Fans Page mengenai hantaran melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor susulan penggunaan papan tanda dwi bahasa, baru-baru ini.

“Hari ini saya datang ke Bukit Aman bagi membantu siasatan kes itu dan menyerahkan beberapa bukti kepada polis.

“Saya yakin kebenaran akan ditegakkan dan menggesa agar polis menyiasat FB milik Najib yang menyebarkan fitnah itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum itu, Kor Ming hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 1.25 tengah hari bagi dirakamkan keterangan berhubung siasatan polis terhadap hantaran dimuat naik FB Nga Kor Ming Super Fans Page itu.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu selesai memberi keterangan pada 3 petang dan memaklumkan turut menyerahkan bukti berhubung kes itu kepada polis.

Turut hadir menemaninya Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Ngeh Khoo Ham, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar dan beberapa pemimpin DAP Perak.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan terhadap Kor Ming belum selesai dan masih berjalan.

“Hari ini beliau (Kor Ming) hadir bagi membantu siasatan terhadap kes itu bagaimanapun, beliau memaklumkan ada tugas di Parlimen dan kerana itu polis menangguhkan sesi merakam keterangan hari ini.

“Bagaimanapun, tarikh dan masa Ahli Parlimen itu akan dipanggil semula belum dapat dipastikan lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya sama ada Kor Ming ada menyerahkan bukti berhubung siasatan kes itu termasuk penafian pembabitannya, Mior Faridalathrash tidak boleh mengesahkan perkara itu.

Pada 2 Oktober lalu Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor memaklumkan bahawa polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan susulan satu laporan dibuat terhadap pemilik akaun FB Nga Kor Ming Super Fans Page.

Pemilik akaun FB itu mengeluarkan status menghasut pengikutnya untuk melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor susulan penggunaan papan tanda dwi bahasa.

Katanya, laporan itu dibuat pada 1 Oktober oleh pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.

Berita berkaitan

Nga Kor Ming tiba di Bukit Aman

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 5:32pm
d