mutakhir

Budak maut terjatuh kolam [METROTV]

Oleh Nor Farhani Che Ad

KANAK-KANAK lelaki maut selepas terjatuh ke dalam kolam buatan di Taman Sri Bayu, Amanjaya, Sungai Petani, 4.15 petang hari ini.

Bapa kanak-kanak berkenaan, Mohd Kushaimi Md Zale, 39, berkata anaknya, Muhammad Danial Affandi, 9, dipercayai sudah meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Dalam kejadian 3 petang itu, Muhammad Danial dipercayai terjatuh ke dalam kolam berkenaan ketika sedang bermain dengan abangnya, Muhammad Danial Asyraf, 13, dan dua rakan mereka.

Mohd Kushaimi berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu dipercayai pergi ke kawasan berkenaan tanpa kebenarannya.

“Selepas dia pulang dari sekolah pada 2 petang, dia memberitahu ingin bermain kereta mainan di halaman rumah bersama abang dan dua rakan mereka.

“Namun pada 2.15 petang, saya dapati mereka tiada di halaman rumah dan tidak sangka mereka ke kolam berkenaan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kolam terletak kira-kira 300 meter dari rumah mereka itu baru dikorek semalam dan dua anaknya bersama rakan mereka dipercayai mahu mandi di kolam terbabit.

“Abangnya memberitahu mereka tidak jadi mandi dan mahu pulang ke rumah, namun adiknya tersepak batu sebelum terjatuh ke dalam kolam itu.

“Saya mengetahui kewujudan kolam itu selepas seorang rakan mereka memberitahu anak bongsu terjatuh ke dalam kolam berkenaan.

“Namun, ketika saya tiba, anak sudah tidak kelihatan di permukaan air,” katanya.

Katanya, biarpun sedih dengan kejadian itu, dia reda dengan kehilangan anaknya yang disifatkan manja dan ceria.

Sebelum itu, kanak-kanak berkenaan ditemui anggota bomba pada 3.53 petang sebelum dibawa ke HSAH untuk menerima rawatan lanjut.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 8:02pm
d