mutakhir

Cetus semarak ilmu [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

PERUNTUKAN dana penyelidikan institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diteruskan dan dipertingkatkan pada Belanjawan 2020 bagi membolehkan penyelidik meneroka lebih banyak penemuan baharu.

Ketua Institut Kepimpinan Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Zuraidah Abdullah berkata, melalui dana itu, penyelidikan membantu menambah baik sistem pendidikan hari ini.

“Melalui penyelidikan kami dapat meneroka lebih banyak penemuan baharu dan saya merasakan ini keperluan masyarakat hari ini.

“Betul kata Dr Maszlee (Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik) akademia begitu dekat dengan masyarakat, dana penyelidikan kepada IPT boleh mencetuskan semarak ilmu dalam kalangan pelajar dengan peningkatan kedudukan universiti penyelidikan tempatan,” katanya.

Dr Zuraidah berkata, ketika ini dana penyelidikan yang semakin berkurang menyebabkan kebanyakan universiti terpaksa mencari dana dari luar negara.

“Di peringkat pendidikan tinggi, kami sebagai pensyarah dan penyelidik berharap belanjawan kali ini memberi ruang kepada lebih banyak dana untuk pihak pengkaji dan penyelidik meneroka dan dekat dengan masyarakat.

“Kami perlu dana lebih besar dan setakat ini jumlahnya sangat terhad dan mengharapkan dana dari luar negara,” katanya.

Katanya, selain itu, kerajaan perlu memberi penekanan lebih kepada infrastruktur sekolah di pedalaman yang dianggap sedikit tercicir dari bandar.

“Kami berharap sekolah di pedalaman menerima infrastruktur sama dan bukan disebabkan jarak mereka tidak dapat kemudahan yang sebaiknya.

“Selain itu, saya berharap kerajaan memperuntukkan belanjawan untuk modal insan guru dan berikan insentif latihan berbentuk lebih formal dan tidak formal, kita mempunyai lebih 400,000 guru, tapi sejauh manakah mereka ini diberi perhatian terhadap pembelajaran sepanjang hayat mereka menjadi guru.

“Bermula tahun pertama mereka melangkah menjadi guru, sejauh mana mereka diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran mengikut kehendak pelajar kita yang berubah mengikut zaman, saya lihat guru di Malaysia hari ini tidak dibekalkan dengan latihan sepatutnya dan sebab itu kita nampak mereka ini terpaksa berdiri sendiri mencari kemahiran menjadi guru berkesan kepada anak generasi Z dan Alpha,” katanya.

Katanya, kajian terbaharu pihaknya di sekolah pedalaman di Sabah mendapati kebanyakan pelajar di sana masih tidak boleh membaca, mengira, menulis (3M) malah tidak berminat ke sekolah.

“Jadi di sini kami melihat peranan universiti dan komuniti setempat untuk sama membantu, kami nampak pelajar, ini bukan tidak boleh belajar tapi memerlukan teknik pendekatan baru.

“Ketika ini kita sibuk dengan Revolusi Industri 4.0, tetapi kebanyakan pelajar di pedalaman masih sibuk dengan laut dan air kerana secara semula jadi mereka sudah terbiasa dengan keadaan itu, jadi bagaimana mereka diberi peluang ke arah ini sedangkan mereka masih tidak boleh menguasai 3M.

“Kerajaan perlu mencari titik tengah terutama kerjasama antara universiti dan pihak sekolah memainkan peranan dalam membantu pelajar tercicir,” katanya.

Ditanya mengenai pendidikan alaf baru, Dr Zuraidah berkata, ia terletak kepada guru itu sendiri jika ingin berubah.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 8:12pm
d