mutakhir

Pemandu maut kereta terjun anak sungai

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam anak sungai di Kilometer 15 Jalan Rawang-Kuala Lumpur, Gombak, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, mangsa, Azri Sulaiman, 51, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu Perodua Viva dalam perjalanan dari Rawang menuju Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan ketika di selekoh menyebabkan kenderaan itu terjunam ke dalam anak sungai setinggi dua meter dari jalan utama.

“Mangsa yang tersepit dalam kenderaan dikeluarkan anggota bomba. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Samsor berkata, kejadian berlaku selepas hujan menyebabkan permukaan jalan di lokasi licin selain berselekoh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 8:14pm
d