mutakhir

Arak RM3.25 juta dirampas

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan sindiket penyeludupan 32,293 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM3.25 juta termasuk nilai cukai dalam Op Sinar di Padang Besar, Rabu lalu.

Pengarah JKDM Perlis, Wan Nor Wan Mamat berkata, pihaknya turut menyita dua treler yang mengangkut dua kontena berisi minuman keras berkenaan.

Menurutnya, empat lelaki termasuk tiga warga Thailand berusia antara 31 hingga 57 tahun ditahan dalam dua tangkapan berasingan bagi membantu siasatan.

“Dua treler bernombor pendaftaran Thailand ditahan di bulatan bandar Padang Besar kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga anggota sindiket yang juga pemandu serta kelindan treler berkenaan menggunakan permit dan borang import palsu bagi melepasi pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.

“Sindiket terbabit mengikrarkan muatan berupa minyak pelincir import sedangkan mereka sebenarnya menyeludup arak berjenama dari Eropah yang dibawa masuk melalui Thailand,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Perlis hari ini.

Wan Nor berkata, semua suspek direman 15 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

“Tiga warga Thailand terbabit direman sehingga 17 Oktober ini manakala warga tempatan berusia 33 tahun direman sehingga 23 Oktober ini selepas ditahan di satu lokasi di negeri ini semalam.

“Kita percaya mereka menjadi pembekal kepada pengedar minuman keras di dalam negara selain dijual secara terus kepada pengusaha kelab malam di ibu kota,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan semua minuman keras itu bakal dieksport semula ke negara lain dan transit di sekitar Lembah Klang.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 8:18pm
d