mutakhir

Hilang suami motosikal bergesel sesama sendiri

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

SEORANG lelaki maut manakala isterinya cedera selepas motosikal dinaiki mereka bergesel motosikal lain di Lebuhraya Persekutuan menghala ke ibu kota, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, dalam kejadian 8.30 pagi, Izham Shamsul Hazizan bersama isterinya, masing-masing berusia 33 tahun menaiki Yamaha FZ150i bergesel motosikal Honda EX-5 yang ditunggang lelaki berusia 34 tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal Honda yang berada di laluan utama secara tiba-tiba menukar laluan ke lorong motosikal lalu bergesel motosikal dinaiki suami isteri berkenaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa terbabas lalu terlanggar penghadang jalan dan maut di lokasi kejadian.

“Mangsa kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, isteri mangsa dan penunggang motosikal Honda yang turut cedera menerima rawatan di hospital sama.

“Buat masa ini, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kejadian.

“Mereka yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Nazreen Nasharuddin di talian 010-210 5101 untuk membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 8:26pm
d