mutakhir

Budak 9 tahun dikhuatiri lemas

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

KANAK-KANAK lelaki berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke longkang ketika bermain bersama rakannya di Bukit Permai, Ampang, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan, Mohd Faizal Md Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.22 petang sebelum mengerahkan sebuah jentera bersama sembilan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya difahamkan ketika kejadian mangsa bersama rakannya sedang bermain berhampiran longkang sebelum terjatuh.

“Terdahulu, rakannya cuba menyelamatkan mangsa namun gagal menyebabkannya hanyut ke parit dan dipercayai memasuki Sungai Kerayong.

“Setakat ini usaha mencari mangsa lelaki berusia sembilan tahun diperluaskan termasuk di tebing sungai berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Faizal berkata, pihaknya turut dibantu 19 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), 15 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sri Serdang dan Gombak.

“Setakat ini, operasi diteruskan sehingga mangsa dijumpai,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 12:45am
d