mutakhir

Sarawak beri Petronas dua pilihan

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad

Petronas diberi kata dua iaitu patuh membayar cukai lima peratus produk petroleum atau menambah pemilikan ekuiti Sarawak dalam sektor gas dan minyak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, pendapatan hasil eksport gas asli cecair (L&G) yang diperoleh dari Sarawak setiap tahun dianggarkan berjumlah RM40 bilion setahun.

“Hasil gas berkenaan diperoleh dari perairan Sarawak dan Petronas perlu mematuhi undang-undang seperti mana syarikat itu beroperasi di Kanada. Kami berhak mengenakan cukai jualan itu kerana sejajar dengan peruntukan undang-undang.

“Bagaimanapun, sekiranya Petronas enggan membayar mereka perlu menggantikan nilai cukai itu menerusi pemberian ekuiti bagi tujuan komersial yang sama dengan nilai cukai dikenakan. Kita masih berunding dengan Petronas berkenaan hal berkenaan,” katanya dalam sesi dialog selepas menghadiri ‘Business Engagement Session with Chief Minister: Journey to 2030’, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di Kuching, semalam.

Abang Johari ketika mengulas lanjut berkata, walaupun Sarawak menjadi penyumbang ketiga terbesar bagi Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, namun ia tidak menggambarkan situasi sebenar pendapatan rakyat di negeri itu.

“Sebahagian besar daripada sumbangan Sarawak dalam KDNK negara banyak dilabur ke Kuala Lumpur. Ini adalah dilema yang kita berdepan sehingga ke hari ini. Pembinaan prasarana bukan kerja mudah kerana ia memerlukan perbelanjaan yang cukup besar,” katanya.

Bagi mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030, Sarawak perlu menambah pendapatan perkapita sebanyak RM5,000 sebulan, berbanding ketika ini pada kadar RM2,000.

Mengulas berkenaan kekurangan tenaga kerja dalam sektor kelapa sawit di Sarawak, kerajaan negeri akan mengadakan program dialog berasingan bagi menyelesaikan permasalahan itu.

“Pengambilan pekerja asing terutama dari Myanmar perlu ditelusi kerana kita tidak mahu timbul masalah pada kemudian hari. Bagi pengambilan pekerja dari Bangladesh, kita perlu menilai impak kedatangan mereka terhadap struktur sosial tempatan,” katanya.

Difahamkan, seramai 60,000 tenaga kerja dalam sektor kelapa sawit diperlukan di negeri ini selepas banyak pekerja asing Indonesia pulang untuk berkhidmat di negara asal dalam sektor sama.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 10:48am
d