mutakhir

Macam-macam taktik...

Oleh Nor Farhani Che Ad

MENYOROK di dalam almari dapur, di bawah katil dan di sebalik guni barangan. Itu antara taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dapat dilihat dalam operasi bersepadu yang dilakukan di beberapa premis kilang dan restoran di sekitar Sungai Petani, semalam.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, sepanjang operasi yang diadakan selama lebih sejam yang bermula 4.30 petang, seramai 21 warga asing ditahan.

“Bertindak atas maklumat yang disalurkan oleh orang ramai dan hasil risikan yang dibuat, seramai 27 warga asing diperiksa dalam operasi yang dijalankan.

“21 daripadanya ditahan iaitu membabitkan seorang lelaki dan sembilan wanita warganegara Indonesia serta enam lelaki dan lima perempuan warganegara China,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 21 sehingga 65 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(c) atas kesalahan tinggal lebih masa dan Peraturan 36(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan berkerja secara tidak sah,” katanya.

“Kesemua ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 11:50am
d