mutakhir

Sik dilanda banjir kilat

Oleh Safuri Kamarudin

SERAMAI 50 penduduk daripada lima kampung di Mukim Teloi, di Sik, dilanda banjir kilat, hari ini.

Antara kampung yang terjejas Kampung Sungai Pau, Kampung Charok Padang, Kampung Tanjung Besar, Kampung Kemelong dan Kampung Titi Semang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Leftenan Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, hujan lebat berterusan sejak 6 petang semalam selama tiga jam menyebabkan air mula melimpah memasuki rumah penduduk kira-kira 12 tengah malam.

Beliau berkata, kebanyakan rumah yang dinaiki air sedalam 0.5 meter.

“Bagaimanapun sehingga hari ini, tidak ada penduduk yang berpindah.

“Namun semua agensi yang terbabit sudah bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir berlaku dengan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya kepada Harian Metro.

Haisul Aishah berkata, hujan lebat menyebabkan air Sungai Chepir melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal di kawasan rendah.

“Hujan lebat yang berterusan dilihat menyebabkan Sungai Chepir melimpah ke penempatan penduduk di sekitar kawasan itu.

“Saya meminta penduduk yang sering terjejas dengan banjir supaya berpindah ke tempat selamat sekiranya keadaan semakin buruk,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 12:24pm
d