mutakhir

Kes Adib: Polis panggil 2 saksi pakar

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

DUA saksi pakar akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan polis berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, saksi pakar yang akan dipanggil itu adalah Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

“Seorang lagi saksi yang akan dipanggil adalah Pakar Fizik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Amir Radzi Ab Ghani.

“Kita juga ingin memaklumkan semasa inkues mahkamah koroner 30 saksi dipanggil di mana 28 daripadanya adalah saksi yang sudah dirakam percakapan oleh polis dalam siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan sebelum ini sebelum ditukar ke Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Huzir berkata, polis juga sudah menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara yang diterima pada 4 Oktober lalu untuk meneruskan siasatan.

“Kita juga sudah membuat temu janji dengan beberapa saksi di mana hari ini seorang saksi sudah membuat temujanji untuk membantu polis memberi keterangan.

“Selain itu, polis juga meminta 56 individu daripada 66 orang yang disiarkan gambar mereka sebelum ini untuk tampil membantu polis berkaitan kesAdib,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya 10 individu sudah memberi maklum balas kepada polis.

“Saya juga meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi berhubung empat suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Adib.

“Salah faham berhubung empat suspek yang dibebaskan dalam kematian kes Adib sebelum ini adalah disebabkan kekeliruan dalam laporan beberapa media tempatan,” katanya.

Katanya, empat suspek terbabit adalah daripada enam orang ditahan di lokasi insiden merusuh di MCT berhampiran lokasi kejadian serangan di Kuil Seafield, Subang Jaya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Liew Ken Go0122816171.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 2:29pm
    d