mutakhir

Jika perlu, Najib akan dipanggil - Polis

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS tidak menolak kemungkinan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya perlu berhubung satu hantaran di laman sosial Facebook (FB) miliknya yang berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya akan menyiasat terlebih dahulu laporan polis dibuat Setiausaha Sulit Kanan ahli parlimen terbabit di Ipoh, Perak pada 3 Oktober lalu.

“Kita akan siasat laporan polis yang kita terima itu dahulu.

“Jika ada keperluan, kita akan panggil sesiapa yang berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Huzir turut tidak menolak kemungkinan akan merakam keterangan Najib jika ada keperluan bagi membantu siasatan.

Kor Ming semalam menggesa polis menyiasat FB ‘Najib Razak’ susulan hantaran berbaur fitnah ke atasnya yang dimuat naik pada 30 September lalu.

Ia berkaitan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan, dimuat naik dalam FB ‘Nga Kor Ming Super Fans’.

Kor Ming menganggap tindakan Najib itu sebagai cubaan merosakkan namanya serta menghasut rakyat membencinya serta parti.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata, Kor Ming turut akan dipanggil semula bagi dirakam keterangan berhubung laporan polis dibuat pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, pada 1 Oktober lalu.

Semalam, polis sudah merakam keterangan Kor Ming kira-kira satu setengah jam bagi membantu siasatan.

Sebelum ini tular di media sosial berhubung satu hantaran yang dimuat naik di FB ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor, pada 29 September lalu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Kor Ming gesa polis siasat FB Najib

Nga Kor Ming ke Bukit Aman

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 3:23pm
d