mutakhir

'Nasi goreng kosong pun OK' [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

MESKIPUN dihimpit kemiskinan hidup, perasaan malu untuk meminta bantuan sangat menebal dalam diri Mohamad Yusoff Edwan.

Malah, Mohamad Yusoff, 50, bersyukur kerana 12 anaknya tidak pernah merungut walaupun mereka sekeluarga makan nasi goreng kosong sepanjang hari.

Menurutnya, sudah biasa hidup dalam serba kekurangan, mungkin menjadi faktor anaknya tidak banyak kerenah.

"Anak saya paling kecil berumur 6 tahun, paling besar 25 tahun. Alhamdulillah, mereka tidak merungut biarpun hanya makan nasi goreng kosong setiap hari.

"Sekurang-kurangnya kami masih ada makanan," katanya.

Mohamad Yusof dan isteri, Zaiton Mat Sam, 47, sebelum ini mendapat perhatian akhbar ini yang memaparkan mereka hidup serba kekurangan di flat sempit.

Menurutnya, kini enam anaknya tidak lagi bersekolah dan ada berkerja sepenuh masa dan ada berkerja sambilan termasuk remaja lelaki berusia 15 tahun.

"Ibu bapa mana tidak mahu anak berjaya dan saya sentiasa mahu memberikan kehidupan terbaik untuk keluarga, namun kemampuan tidak setara keinginan.

"Enam anak masih bersekolah dan saya harap mereka dapat teruskan dan saya diberi kekuatan untuk terus mencari rezeki.

"Faham sajalah, untuk menyekolahkan anak di zaman ini bukan murah. Tapi anak saya tidak pernah tarik muka jika saya tidak dapat berikan duit poket kepada mereka untuk ke sekolah," katanya yang berterima kasih kepada Harian Metro kerana membantu mereka.

Keluarga itu dikunjungi skuad Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di rumahnya di Flat PPR Desa Tun Razak, Cheras, hari ini.

Pelbagai sumbangan makanan, keperluan harian dan wang tunai keseluruhannya bernilai RM1,000 disampaikan kepada keluarga terbabit.

Sumbangan disampaikan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Ahmad Shukri Sulaiman bersama Pengerusi Penganjur TKHM 2019, Husain Jahit dan Ketua Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Norfarahanis Noor Zeri.

Sementara itu, Husain berkata, sejak kisah keluarga itu disiarkan di Harian Metro, beberapa pihak tampil untuk membantu dan diharapkan lebih banyak pihak memainkan peranan menyokong masyarakat dihimpit kemiskinan.

"Setiap kali kami siarkan kisah masyarakat kurang bernasib baik dan hidup dalam kesempitan, kami harap ada pihak sudi membantu mereka.

"Mereka bukan hanya memerlukan bantuan makanan, pakaian dan wang tunai, malah bantuan moral penting," katanya.

Beliau turut berharap pihak sekolah memainkan peranan lebih besar dalam memupuk minat dan motivasi anak Mohamad Yusoff dan Zaiton untuk ke sekolah kerana dibimbangi masa depan kanak-kanak ini terjejas sekiranya terus keciciran dalam pelajaran.

Pada 3 Oktober lalu, akhbar ini memaparkan kisah hidup pasangan 12 anak yang tinggal di flat sempit dengan Mohamad Yusoff berkerja sebagai pengawal keselamatan berpendapatan RM1,000 sebulan manakala isterinya membantu membuat kuih.

Keluarga itu mendapat bantuan bulanan RM350 daripada Baitulmal untuk membeli barang dapur selain keperluan persekolahan anak.

Berita berkaitan

'Flat sempit 'syurga' 12 anak [METROTV]'

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 4:51pm
d