mutakhir

Penerbangan khas selamatkan bayi sesak nafas

Oleh Ramli Ibrahim

BOMBA dan Penyelamat membuat penerbangan khas menyelamatkan bayi lelaki orang Asli yang sesak nafas ke Hospital Gua Musang (HGM), hari ini.

Bayi itu, Aga Nazri Seri Wangi yang berusia 14 bulan diterbangkan menggunakan helikopter oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Kampung Piyel, Pos Bihai, Gua Musang ke HGM.

Bayi lelaki yang mengalami demam panas sejak dua hari lalu itu menaiki helikopter pada 1.30 tengah hari.

Pegawai Perhubungan Awam, Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan itu menggunakan krew pesawat A109E (9MBOB) yang diketuai Juruterbang, Timbalan Penguasa Bomba, Faizal Latif dan dibantu Penolong Penguasa Bomba Fazli Ezham.

Katanya, maklumat mengenai perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak, pada 10 pagi dan persiapan segera dilakukan.

“Penerbangan itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang, 12.26 tengah hari, sebelum mendarat di Kampung Piyel, 1.30 tengah hari.

“Penerbangan kemudian membawa bayi itu dan mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, 1.55 tengah hari, kemudian dihantar ke HGM dengan ambulans JBPM yang diiringi kedua ibu bapa pesakit,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Mohd Farhan berkata, keluarga bayi itu terpaksa memohon penerbangan ihsan berikutan jalan dari Pos Bihai ke Gua Musang rosak teruk.

Menurutnya, keluarga bayi itu sudah berusaha untuk menghantar anak mereka ke HGM dengan menggunakan kenderaan jalan darat tetapi gagal.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 6:02pm
d