mutakhir

Nampak selipar adik terapung...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“SAYA nampak selipar Anas dalam lubang dan saya dengan Asyraf terus jerit minta tolong kerana Anas sudah jatuh dalam lubang itu.

“Kami takut sangat masa itu, Asyraf nampak tangan Anas lepas tu terus hilang,” kata Muhamad Syakir Zufairi Ahmad Hafiz, 7, abang kepada Muhamad Anas Hadif, 3, yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Kuarters Balai Polis Pasir Puteh, di Ipoh, semalam.

Menurut Muhamad Syakir Zufairi, ketika kejadian dia bersama adik bongsunya itu keluar rumah dahulu untuk bermain sebelum adik ketiganya, Muhamad Asyraf,6, menyertai mereka.

“Ketika sedang bermain tiba-tiba Anas terlanggar batu sebelum terjatuh ke dalam lubang itu. Kami terus jerit minta tolong.

“Saya sedih dan menangis teringatkan Anas, rindu dengan dia dan selepas ini kami tidak akan bermain di situ lagi,” katanya ketika ditemui di rumah nenek mereka di Kampung Sungai Tiram, Lekir dekat sini, hari ini.

Ibu mereka, Sofiah Mohd Teridi, 32, berkata mereka sekeluarga masih terkejut dengan kejadian itu, namun reda dan menganggap apa yang berlaku adalah kemalangan yang tidak diduga.

“Saya tidak pernah ke lokasi kejadian, jadi tak pasti lubang itu memang selalu ditutup atau tidak kerana kami baru sahaja sebulan berpindah di kuarters berkenaan jadi belum biasa dengan keadaan di sana.

“Pada hari kejadian saya sudah melarang mereka bermain di bawah (luar rumah), namun perkara sudah berlaku dan kami reda dan anggap ini kemalangan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian dua anaknya tidak bersekolah kerana kurang sihat dan ketika itu dia berada di rumah bersama suami sebelum terdengar jeritan dua anaknya yang meminta tolong.

“Jeritan itu membuatkan saya tak sedap hati sebelum kami bergegas turun dan luluh hati saya manakala kaki pula lemah apabila melihat selipar anak bongsu dalam lubang itu,” katanya sayu.

Bercerita lanjut, Sofiah berkata, malam sebelum kejadian anak bongsunya itu minta dipeluk ketika tidur dan pagi itu pula Muhamad Anas Hadif mahu makan nasi seawal 7.30 pagi.

“Kebiasaannya dia makan sekitar 9 atau 10 pagi tapi pagi semalam selepas abang sulungnya, Mohamad Syafiq (10) ke sekolah dia terus minta nasi dan makan dengan berselera.

“Saya juga perasan dia menjadi anak yang sangat manja dan sejak seminggu lalu berulang kali cakap ‘Anas sayang mama’ sambil mencium saya dan apabila saya balas yang saya juga sayangkannya dia terus senyum,” katanya.

Sofiah berkata, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama warga PDRM Ipoh yang membantu mereka semalam.

Berita berkaitan

Budak maut dalam lubang kumbahan

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 6:44pm
d