mutakhir

Mengaku bersalah tikam, pukul

Oleh Norizuan Shamsuddin

PEMUDA dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki dengan menggunakan pisau dan kayu.

Tertuduh, Raja Mohd Riswadi Raja Ibrahim, 30, dari Kampung Kubang Bujok Belara Manir mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan sebilah pisau dan sebatang kayu terhadap Wan Muhammad Amirul Faiz Wan Ismail, 21.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tepi Jalan Kampung Raja Muda, Kubang Tepak, Manir pada 11.30 pagi, 9 April lalu.

Berikutan itu, Raja Mohd Riswadi didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika disabitkan dengan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabila, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh diberikan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila Wan Muhammad ke lokasi terbabit untuk berjumpa dengan kenalannya yang bernama Mondok.

Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi Wan Muhammad mendapati ada beberapa individu lain bersama kenalannya itu dan secara tiba-tiba tertuduh memarahinya kerana tidak berpuas hati selepas mendakwa mangsa mencuri motosikalnya.

Tertuduh kemudiannya menikam paha kiri Wan Muhammad dengan menggunakan pisau beberapa kali walaupun mangsa sudah memaklumkan motosikal berkenaan berada di Balai Polis Marang.

Tertuduh turut memukul Wan Muhammad di kepala dan badan dengan menggunakan kayu selepas tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan itu.

Kejadian itu menyebabkan Wan Muhammad dimasukkan di hospital selama tiga hari kerana mengalami kecederaan di paha kiri, belakang badan dan menerima 10 jahitan di kepala.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 7:08pm
d