mutakhir

Bantuan untuk keluarga arwah

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KELUARGA terutama adik beradik Allahyarham Muhamad Anas Hadif, 3, kanak-kanak yang maut selepas terjatuh dalam lubang kumbahan di Ipoh semalam akan diberi bantuan sewajarnya termasuk kaunseling.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Ruhaini Zawawi berkata, pihaknya akan bertemu keluarga mangsa untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian selain memberikan bantuan yang diperlukan.

“Setakat ini kita belum dapat membuat laporan lengkap mengenai kejadian itu kerana keluarga mangsa kini berada di Lekir, Manjung untuk urusan pengebumian.

“JKM akan berjumpa dengan keluarga ini dan ia adalah prosedur biasa untuk kami memberi kaunseling jika ahli keluarga trauma susulan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, JKM akan membuat yang terbaik bagi membantu keluarga mangsa dan bertemu dengan mereka secepat mungkin.

“Kaunseling akan diberikan kepada ahli keluarga iaitu sesiapa saja dalam ahli keluarga yang trauma atau terkesan dengan insiden itu.

“Maksudnya sesiapa saja ahli keluarga sama ada ibu bapa atau adik beradik mangsa memerlukan intervensi, kita akan bantu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di lokasi hari ini mendapati kawasan itu ditutup dengan garisan polis selain lubang kumbahan diletakkan kon.

Keluarga mangsa juga tiada di kuarters berkenaan dan difahamkan masih berada di Lekir selepas pengebumian mangsa semalam.

Dalam kejadian 8 pagi semalam, mayat Muhamad Anas Hadif ditemui di dalam lubang kumbahan selepas dipercayai terjatuh ketika bermain dengan dua abangnya di kuarters itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati penutup lubang kumbahan itu boleh dibuka dan pemantauan awal mendapati ia sentiasa ditutup.

Menurutnya, penutup lubang itu dipercayai dialihkan kumpulan kanak-kanak yang bermain di kawasan berhampiran termasuk mangsa dan tiga abangnya.

Berita berkaitan:

Nampak selipar adik terapung...

  • Ada budak buka penutup lubang
  • Tangisan tiga beradik
  • Budak maut dalam lubang kumbahan

    Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 9:16pm
    d