mutakhir

Komisyen tipu saham RM10,000 sebulan

Oleh Shamsul Munir Safini

SINDIKET pelaburan saham haram didalangi warga asing dan mensasarkan warga China sebagai mangsa tumpas dalam satu serbuan polis di sebuah premis di Livingstone House, Jalan Logan di Georgetown pagi tadi.

Dalam serbuan 4.45 pagi itu, polis menahan 86 individu termasuk 79 warga China di premis berkenaan.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita warga Malaysia, 71 lelaki serta lapan wanita warga China berusia antara 20 tahun hingga 42 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis juga merampas 55 komputer riba pelbagai jenama, 25 komputer peribadi, sebuah ‘book’ tablet, 460 telefon bimbit, peralatan komputer, 24 buku catatan tulisan Cina dan peralatan Internet.

“Kesemua warga China yang ditahan itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan awal yang dijalankan, kesemua mereka menjalankan aktiviti pelaburan saham yang mensasarkan rakyat China dengan menggunakan peralatan komputer dan telefon bimbit sebagai medium komunikasi serta beroperasi di Malaysia sebagai pusat,” katanya.

Menurutnya, aktiviti terbabit dijalankan di premis itu lebih sebulan dan pakar judi polis juga hadir membuat pemeriksaan ke atas barang kes.

Katanya, ‘Mr Wong’ yang dipercayai ketua sindiket berada di China berperanan menghantar warga China itu ke Malaysia.

Che Zaimani berkata, seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Jackey’ yang menetap di Kuala Lumpur dikenal pasti berperanan pengurus sindiket ini.

“Gaji yang ditawarkan kepada warga China terbabit 4,000 yuan sebulan tidak termasuk komisyen, manakala gaji pokok yang ditawarkan kepada pekerja warga tempatan adalah sebanyak RM1,600 sebulan dengan komisyen pula boleh mencecah RM10,000 sebulan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 9:58pm
d