mutakhir

'Pejabat' pertaruhan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PETALING JAYA: Taktik sindiket judi dalam talian menjadikan dua ruang pejabat sebagai pusat panggilan terbongkar apabila 27 warga China ditahan dalam serbuan di premis terbabit di sini, semalam.

Serbuan bermula jam 1.30 tengah hari dijalankan sepasukan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor diketuai Pegawai Operasi Inspektor Yap Keat Hua bersama Inspektor Nurul Akma Khalid.

Difahamkan, kegiatan sindiket sangat licik kerana beroperasi di tingkat 13 bangunan pejabat serta perlu menggunakan kad akses untuk masuk selain dikawal pengawal keselamatan.

Yap berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan maklumat orang awam sebelum menahan 26 lelaki dan seorang wanita warga China berusia 20 hingga 30-an.

Menurutnya, siasatan mendapati mereka baru sebulan beroperasi dengan menawarkan perjudian dalam talian kepada rakyat di China.

“Malah, untuk masuk ke premis ini memerlukan kad akses bagi mengaburi pihak berkuasa di mana mereka bekerja di ruang pejabat yang disewakan bermula 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

“Susulan itu, kita merampas 13 set komputer, 19 komputer riba, dua modem dan 30 telefon bimbit,” katanya ketika ditemui, di sini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati mereka dibayar gaji antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan untuk melalukan pekerjaan itu.

“Ketika ditahan juga suspek tidak memiliki pasport dipercayai disimpan sindiket terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 5:30am
d