mutakhir

Longkang ikan

Oleh Roselan Ab Malek

TEMERLOH: Kebanyakan longkang di negara ini bukan sahaja dipenuhi sampah dan berbau busuk malah menjadi tempat pembiakan aedes, sekali gus mengundang pelbagai penyakit.

Namun berbeza halnya dengan longkang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin di sini, yang bukan sahaja mempunyai air yang bersih, malah menjadi lokasi menternak ikan pelbagai spesies.

Ketuanya, Penolong Penguasa Bomba Hasnuddin Husin berkata, usaha menternak ikan itu dijalankan sejak tahun lalu di kawasan longkang sepanjang 90 meter yang terletak berhampiran balai.

Katanya, spesies ikan seperti patin, keli dan tilapia diternak di kawasan longkang itu selepas melihat kejernihan air longkang.

“Kini saya anggarkan ratusan ikan di dalam longkang ini. Usaha ini juga membantu balai mengelakkan pembaziran kerana sumber makanan boleh diperoleh dengan mudah.

“Jika ada program dalaman kita boleh ambil ikan yang diternak tanpa perlu ke pasar,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, BBP Bukit Angin adalah balai yang pertama di negara ini melakukan usaha menternak ikan dalam longkang.

Hasnuddin berkata, BBP Bukit Angin yang mempunyai keanggotaan 49 pegawai dan anggota mengambil inisiatif itu selepas dicetuskan bekas Ketua Pengarah Bomba Malaysia, Datuk Seri Wan Mat Noor Ibrahim yang mahukan kemudahan di setiap balai dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kami juga ucapkan terima kasih kepada Jabatan Perikanan yang membantu memberikan benih ikan selain memberi khidmat nasihat,” katanya.

Mengulas mengenai penjagaan ikan yang diternak dan usaha mengekalkan kebersihan air longkang, katanya, terdapat penggiliran anggota yang memantau dan memastikan kebersihan air longkang.

“Setiap sebulan sekali anggota kami akan membersihkan longkang dan ada yang bertugas memberi makan ikan setiap hari,” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 5:40am
d