mutakhir

Perak mula dilanda banjir

Oleh Muhammad Apendy Issahak

BANJIR mula melanda di Perak dengan satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini di Dewan Kampung Sungai Segar, Ijok, sejak malam tadi.

Difahamkan air mula naik sejak 10 malam tadi berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam dan hingga 7.30 pagi ini dan lima penduduk membabitkan tiga keluarga sudah dipindahkan di PPS berkenaan.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Selama, Leftenan (PA) Azman Amat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian, 10 malam tadi membabitkan kawasan terjejas di Kampung Sungai Segar.

"Tiga keluarga yang terjejas akibat banjir ditempatkan di Dewan Kampung Sungai Segar.

"Penduduk yang terjejas adalah membabitkan dua lelaki dan tiga wanita," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kawasan berkenaan masih hujan namun paras banjir sudah mula surut.

"Keadaan di kawasan yang terjejas setakat ini adalah terkawal dan dipantau pihak berkuasa.

"Agensi yang terbabit memantau keadaan adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) seramai enam anggota, polis seramai tiga anggota, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tiga anggota dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seramai empat orang," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 8:12am
d