mutakhir

Tiada peningkatan mangsa banjir di Baling

Oleh Aizat Sharif

JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara di Baling terus kekal seramai 170 sehingga pagi ini.

Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata, sehingga jam 12 tengah malam, sebanyak 56 keluarga bermalam di PPS Dewan Kenangan Tun Abdul Razak dan Kompleks Rakan Muda (Kompleks Sukan Baling), Batu 42, Baling.

“Di PPS Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, terdapat 24 orang daripada lima keluarga yang ditempatkan di situ di mana pecahannya adalah lima lelaki dan tujuh wanita sementara 12 adalah kanak-kanak.

“Selain itu, di PPS Kompleks Rakan Muda (Kompleks Sukan Baling), Batu 42 pula, terdapat 146 orang daripada 50 keluarga yang ditempatkan di situ membabitkan 43 orang lelaki, 64 orang wanita, 39 kanak-kanak serta seorang Orang Kelainan Upaya (OKU),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semua mangsa masih di PPS berikutan banjir belum pulih dan keadaan air Sungai Ketil masih kekal pada paras bahaya.

Antara kampung dilanda banjir adalah Kampung Tanjung Merbau, Kampung Banggol Serdang, Kampung Charok Sikin, Kampung Datuk, Kampung Lubuk Pedati dan Kampung Bendang Sera.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 11:09am
d