mutakhir

Banjir air lombong itik [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

LOMBONG ternakan itik pecah mengakibatkan air melimpah ke atas Jalan Ipoh - Lumut berhampiran Tronoh di Batu Gajah, hari ini, menyebabkan kedua-dua laluan di kawasan berkenaan banjir.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 10 pagi tadi.

Menurutnya, kejadian berlaku di Kilometer (KM) 22 Jalan Ipoh - Lumut membabitkan sebuah lombong ternakan itik di belakang Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara.

“Kira-kira 10 pagi, berlaku kejadian lombong pecah menyebabkan air melimpah keluar ke atas Jalan Ipoh-Lumut dan berlaku kesesakan lalu lintas di kedua-dua laluan.

“Anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah dan Balai Polis Pusing diarah mengawal aliran lalu lintas di kawasan berkenaan dengan membuat sekatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa dan kerosakan.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta sudah dimaklumkan untuk tindakan lanjut termasuk pembersihan jalan dan sebagainya.

“Lencongan aluan dari Ipoh ke Lumut lencongan dibuat di lampu isyarat KM 21 Jalan Ipoh-Lumut (hadapan kari kepala ikan Salim), manakala dari Lumut ke Ipoh pula, lencongan di lampu isyarat KM 23 (hadapan Klinik Tronoh).

“Laluan alternatif yang boleh digunakan adalah dari Ipoh ke Lumut adalah melalui Jalan Parit dan dari Lumut ke Ipoh pula adalah Jalan Bali - Tanjung Tualang, Batu Gajah,” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 12:57pm
d