mutakhir

Teliti semula subsidi

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

KERAJAAN sedang meneliti semula peruntukan subsidi supaya dapat disalurkan kepada golongan sasar dan kelompok masyarakat yang memerlukan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok turut mengambil kira rintihan rakyat merangkumi pemberian subsidi dan pelaksanaan cukai.

Menurutnya, wujud pelbagai rungutan dan harapan rakyat berhubung hala tuju negara.

“Bagaimanapun, kerajaan harus menggalas peranan untuk menyeimbangkan faktor pelaksanaan cukai yang menjana pendapatan negara dengan kadar pemberian subsidi semasa.

“Saya baca dalam akhbar, ramai minta supaya cukai dikurangkan dan subsidi ditambah, tetapi hakikatnya kita kena seimbangkan kedua-dua perkara ini.

“Kita cuba kurangkan cukai, namun kerajaan kena ada wang untuk menampung pembangunan kemudahan dan pelbagai sektor, termasuk penyaluran subsidi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa (IGEM) 2019 Ke-10 di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin; Menteri Pembangunan Usahawan; Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof serta Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Mengulas permintaan rakyat yang mahu cukai dikurangkan, Mahathir berkata, ia satu permintaan yang sukar dilaksanakan.

“Mana boleh kita penuhi permintaan orang ramai yang mahu cukai dikurangkan, manakala subsidi ditambah dari semasa ke semasa.

“Kita dapati ada juga golongan B40 (isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) yang tidak memerlukan subsidi,” katanya.

Katanya, kerajaan kekal dengan prinsip bahawa kadar cukai yang lebih tinggi akan dikenakan kepada golongan kaya berbanding orang miskin.

Menjawab soalan wartawan berkaitan pengambilalihan PLUS Malaysia Sdn Bhd (PLUS), Mahathir menegaskan kerajaan tidak mempunyai ‘senarai’ tertentu dalam menentukan pembida paling layak untuk tujuan terbabit, sebaliknya ia bergantung kepada beberapa faktor.

“Keutamaan kerajaan dalam menentukan kelayakan pihak untuk mengambil alih jajaran lebuh raya kendalian PLUS adalah nilai yang ditawarkan pembida agensi swasta.

“Kalau nilai yang ditawarkan adalah lumayan dan seiring taksiran kerajaan, maka kita akan luluskan,” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 3:06pm
d