mutakhir

Nenek tak mahu tenggelam...

Oleh Ramli Ibrahim

SELEPAS empat kali berdepan detik cemas apabila hampir ditenggelami banjir ketika tidur membuatkan nenek berusia 93 tahun yang tinggal di Kampung Limau Kasturi, dekat Gua Musang, membuat persiapan awal untuk berdepan musim tengkujuh tahun ini.

Mariam Yusoff yang juga warga emas yang paling berusia tinggal di kampung berkenaan mengakui pernah kira-kira 40 kali berpindah kerana rumahnya hampir ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh.

“Detik paling cemas dihadapi apabila empat kali badan mak cik hampir tenggelam ketika tidur susulan lantai rumah dilimpahi air pada waktu tengah malam sebelum bergegas berpindah.

“Kejadian itu berlaku sekitar lima hingga 10 tahun lalu. Memandangkan mak cik tinggal seorang diri dan sedar-sedar badan basah berada dalam air,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Ibu tunggal itu berkata, berikutan pengalaman kerap berdepan kejadian banjir setiap akhir tahun, dia terpaksa berkemas lebih awal barangan penting di tempat selamat.

Katanya, dia membina tempat khusus yang lebih tinggi untuk menyimpan semua pakaian supaya tidak perlu membawa semuanya ke pusat pemindahan banjir.

“Kejadian banjir di kampung ini tidak boleh diramal kerana ada kalanya berlaku banjir dua hingga tiga hari, bergantung kepada hujan.

“Kadang-kala mak cik pindah awal ke masjid kampung ini jika hujan lebat berterusan bagi mengelakkan daripada terperangkap,” katanya yang mempunyai enam anak namun semuanya sudah mempunyai keluarga masing-masing.

Katanya, apabila hujan lebat berterusan lebih enam jam tanpa henti, Sungai Galas akan melimpah menyebabkan kawasan rendah ditenggelami banjir.

“Mak cik sebelum ini tinggal di rumah kayu yang dibina arwah suami, namun sudah runtuh dibawa arus deras dalam kejadian banjir besar Disember 2014.

“Kerajaan sudah bina rumah baharu untuk mak cik, namun rumah ini tetap tenggelam setiap kali musim tengkujuh kerana dibina di tempat rendah.

“Rumah mak cik tidak banyak kelengkapan berikutan tidak mampu membelinya kerana sudah berulang kali menanggung kerugian apabila dilanda banjir,”katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 3:39pm
d