mutakhir

Petugas Utusan akan diambil semula bekerja

Oleh BERNAMA

SESETENGAH petugas Utusan Melayu (Malaysia) Berhad akan diambil semula bekerja di bawah pengurusan baru Utusan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Utusan akan diuruskan oleh sebuah syarikat baharu. Mengenai petugas terbabit, sesetengah mereka akan diambil semula bekerja di bawah Utusan baharu,” katanya ditemui selepas pelancaran solusi bumbung solar pertama oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di negara ini dikenali M+ oleh PETRONAS.

Dr Mahathir ditanya mengenai akhbar Melayu tertua di negara ini, Utusan Malaysia, yang dihentikan penerbitannya sejak semalam dengan petugasnya diberitahu mengemas barang masing-masing dan meninggalkan pejabat dalam notis singkat.

Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir semalam mengeluarkan memorandum yang menyebut syarikat berkenaan akan dihentikan operasi 9 Oktober manakala hari terakhir perkhidmatan pekerja ialah 31 Oktober.

Abd Aziz berkata, lembaga pengarah Utusan meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim pada 7 Oktober kerana syarikat berkenaan tidak lagi boleh meneruskan perniagaannya.

Penutupan ke atas Utusan yang ditubuhkan 80 tahun lalu selepas Aurora Mulia Sdn Bhd - sebuah syarikat dikaitkan dengan taikon perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary, memperoleh pemilikan 70 peratus daripada anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 4:01pm
d