mutakhir

Tiada pemberian kontrak secara kronisme - Tun M

Oleh BERNAMA

TUN Dr Mahathir Mohamad mengulangi bahawa tiada pemberian kontrak secara kronisme termasuk projek berkaitan tenaga yang boleh diperbaharui.

Perdana Menteri menolak kritikan yang dilemparkan terhadap beliau bahawa penerima projek itu ada hubungan kekeluargaan dengan beliau.

“Saya ingin meminta semua saudara saya, adakah mereka mendapatkan apa-apa daripada saya?

“Mereka kini tidak bercakap dengan saya kerana saya tidak pernah membantu mereka,” katanya ditemui selepas melancarkan solusi bumbung solar pertama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) di negara ini dikenali M+ oleh PETRONAS di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya bagaimana beliau akan memastikan hanya syarikat atau individu layak saja ditawarkan projek susulan ada dakwaan beberapa pemain industri dianugerahkan projek kerana ada hubungan kekeluargaan dengannya ketika beliau menjadi perdana menteri keempat selama 22 tahun sebelum ini.

Dr Mahathir berkata, projek perlu diberikan kepada seseorang dan apabila ia dilakukan maka sentiasa ada dakwaan kronisme.

“Kalau begitu, kita tidak perlu memberi kepada sesiapa pun, maka anda tidak boleh mengatakan apa-apa.

“Namun jika anda tidak memberikannya kepada sesiapa, maka negara tidak dapat mencapai kemajuan.

“Tidak semestinya menantu lelaki saya dan semua itu. Ia tidak akan diberikan kepada mereka. Saya akan meminta pengesahan anda,” katanya secara sinis.

Beliau menegaskan kerajaan akan menyokong syarikat yang mempunyai cadangan yang berdaya maju.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 5:08pm
d