mutakhir

Kerajaan negeri masih kukuh

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

MENTERI Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan akan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menegaskan kerajaan negeri masih kukuh di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Dengan nada sinis, Ahmad Faizal menyatakan pilihan raya akan tetap diadakan dalam tempoh masa lima tahun dari tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini sekiranya tidak berlaku kiamat.

Menurutnya, disebabkan PRU akan diadakan dalam tempoh beberapa tahun lagi, sudah pasti semua pihak sedang bersiap sedia termasuk dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

“Saya percaya SPR dan semua pihak sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya setiap lima tahun, jadi saya sentiasa menggalakkan orang-orang politik tidak kira dari pihak kerajaan atau pembangkang untuk fokus kepada bekerja demi rakyat dan pembangunan.

“Jadi, jawapan saya sama ada kita akan adakan PRN, ia (pilihan raya) tetap akan berlaku kalau kita tak kiamat besok,” katanya ketika sidang media selepas majlis pelancaran ETS2 dan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh di Stesen Kereta Api Ipoh hari ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan mencemar duli untuk menyempurnakan majlis itu dan turut mengiringi baginda adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menaiki ETS2 ke Ipoh.

Ahmad Faizal berkata, beliau tidak perlu untuk mengadap Sultan Nazrin untuk memohon perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) disebabkan kerajaan Perak masih utuh dan kuat.

“Saya dan rakan-rakan Exco sedang memberi tumpuan penuh kepada usaha untuk membangunkan negeri, saya juga sedang bersiap sedia untuk menyampaikan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada bulan hadapan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan politik di Perak bergolak lagi dan kali ini lebih hangat hingga ke tahap mungkin berlaku PRN apabila terdapat khabar angin mengatakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) bertindak keluar parti.

Sejak semalam, tular beberapa ADUN DAP Perak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas termasuk Exco.

Turut tular ialah surat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak yang memberi kebenaran kepada permohonan SPR untuk mengadakan lawatan ke sekolah sebagai pusat mengundi dalam tempoh tiga bulan ini.

Berita berkaitan

DAP Perak bergolak, kemungkinan PRN?

Mana ada PRN...

Letak jawatan, bukan keluar parti

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 9:27pm
d