mutakhir

Peraturan lama, kenapa baru bantah?

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan melakukan penindasan terhadap pemandu lori yang ingin memperbaharui lesen memandu mereka sejak 1 Oktober lalu.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pembaharuan lesen untuk setiap pemandu itu adalah sama seperti prosedur biasa.

Menurutnya, setiap permohonan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) perlu membuat pemeriksaan doktor dan tidak timbul isu berlaku penindasan terhadap mereka.

"Prosedur itu turut membabit pembaharuan lesen bagi permohonan Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan konduktor kerana ia adalah antar syarat yang sudah lama ditetapkan.

"Jika doktor mengesahkan mereka tidak mengalami masalah kesihatan, lesen akan diluluskan dan sebaliknya.

"Saya hairan mengapa mereka membantah secara tiba-tiba, sebenarnya tiada sebarang perubahan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial apabila mendakwa pemandu lori ditindas dengan syarat baru pembaharuan lesen yang memerlukan keputusan pemeriksaan kesihatan.

Selain itu, turut tular mesej suara yang meminta pemandu lori berkumpul sebagai tanda protes berhubung isu berkenaan.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 11:12pm
d