mutakhir

Inisiatif PLUS berjaya kurangkan sesak

Oleh Isma Ismail

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berjaya mengurangkan sebanyak 48.2 peratus kesesakan trafik di semua lorong keluar plaza tol Wilayah Tengah selepas melaksanakan inisiatif tiada tambah nilai sejak 1 Ogos lalu.

Menurut kenyataan media PLUS semalam, langkah menguatkuasakan inisiatif terbabit lebih dua bulan lalu menyebabkan bilangan pengguna lebuh raya yang cuba menambah nilai di lorong keluar antara laluan Seremban hingga Ipoh Selatan berkurangan dengan ketara.

“Pada 1 Ogos lalu iaitu pada hari pertama langkah itu dilaksanakan, terdapat kira-kira 850,000 purata trafik harian di Wilayah Tengah dan kesesakan harian yang berlaku di laluan keluar plaza tol adalah disebabkan oleh lima peratus pelanggan mempunyai baki tambah nilai tidak mencukupi.

“Walaupun jumlah itu kecil, ia membabitkan sebanyak 42,500 kenderaan yang berhenti untuk menambah nilai sekali gus menyebabkan kesesakan trafik dan pembaziran masa kepada 95 peratus pelanggan PLUS lain.

“Bagaimanapun, jumlah kenderaan beratur untuk menambah nilai di plaza tol pada 30 September lalu sudah menurun kepada 22,000 kenderaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan PLUS, pihaknya berterima kasih kepada pelanggan yang menyumbang kepada pengurangan kesesakan di plaza tol itu dengan menambah nilai kad Touch 'n Go (TnG) mereka di pusat tambah nilai lain.

Katanya, PLUS juga menghargai usaha semua pengusaha dan penyedia kaunter dan mesin TnG yang sentiasa memastikan mesin atau kiosk tambah nilai sentiasa beroperasi bagi memudahkan pelanggan berurusan.

“Langkah PLUS tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di plaza tol juga bertujuan untuk menjamin keselamatan pembantu perkhidmatan pelanggan PLUS kerana kemalangan membabitkan kenderaan berat melanggar pondok tol kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

“Pelanggan PLUS dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dan memastikan bahawa TnG mereka mempunyai baki yang cukup sebelum memasuki lebuh raya.

“Perkhidmatan tambah nilai disediakan di lebih 10,000 pusat yang terdapat di seluruh negara termasuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM), stesen minyak, kedai serbaneka, kawasan rehat dan rawat (R&R) dan pusat membeli-belah,” katanya di Petaling Jaya.

Menurut kenyataan itu lagi, PLUS juga akan memperluaskan inisiatif terbabit di seluruh rangkaian lebuh bawah seliaannya di utara dan selatan dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 12:27am
d